Monday, February 7
Serangga yang mempuyai sayap dan hinggap daripada satu bunga kepada bunga yang lain suka untuk dinamakan sebagai rama-rama. Daripada telur kemudian kepompong dan seterusnya menjadi seekor rama-rama memperlihatkan sebuah transformasi yang sangat menarik. Ini dinamakan sebagai Metamorfosis rama-rama.
Monarch Butterfly merupakan rama-rama yang paling biasa dijumpai dan popular. Ia juga merupakan antara spesis yang tercantik. Spesis ini mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, mempunyai ketahanan dalam perjalanan merentasi benua, dan pupa yang kelihatannya lebih baik berbanding dengan spesis yang lain. Ia akan menjadi rama-rama yang cantik hanya setelah melalui fasa-fasa metamorfosa yang berbeza-beza. Rama-rama adalah diantara serangga yang mempunyai empat peringkat pembesaran dalam kitaran hidup mereka.
Peringkat Pertama: Telur
Perkara yang sangat penting untuk diketahui adalah, rama-rama betina sangat pemilih berkenaan dengan tumbuhan yang mereka akan jadikan tempat untuk bertelur. Alasannya, cara ulat beluncas meneruskan kehidupannya adalah dengan mengunyah daun-daun daripada tumbuhan tersebut. Bukan semua daun sesuai untuk dijadikan makanan kepada ulat beluncas. Ianya bergantung kepada spesis ulat beluncas tersebut. Bermulanya metamorfosis adalah apabila rama-rama betina telah mengeluarkan telurnya. Kebiasaannya, anda boleh dapati telur rama-rama dibahagian belakang daun. Ianya berwarna putih dan sangat kecil. Telur rama-rama memerlukan masa seminggu untuk menetas. Larva akan terbentuk didalam telur dan kuning telur akan melindungi larva tersebut. Kemudiannya, ia akan membuat satu lubang yang kecil di dalam telur dan ia kelihatan di atas daun.
Peringkat Kedua: Larva
Larva rama-rama dipanggil sebagai ulat beluncas. Ini adalah fasa kedua metamorfosis. Pada awalnya, ulat beluncas bersaiz sangat kecil dan beratnya adalah lebih kurang 0.55 milligram dengan kepanjangan 0.1 inci. Namun demikian, ulat beluncas cepat membesar. Dalam masa dua minggu sahaja, ianya sudah menjadi ulat beluncas dewasa dengan saiz lebih kurang 2.0 inci. Fasa ini sangat menarik. Ulat beluncas dewasa mempunai 8 pasang kaki. Sementara badan ulat beluncas semakin memanjang, tetapi kulitnya tidak lagi bertumbuh. Kulit tersebut sedia untuk ditanggalkan. Pada fasa ini, ulat beluncas akan bertukar kulit lebih kurang 5 hingga 6 kali. Ulat beluncas dewasa yang telah habis bertukar kulit akan mula merangkak menjauhi tumbuhan yang telah menjadi tempat tinggalnya sebelum ini dan akan terus merangkak sehingga ia menemui tempat yang selamat untuk berkepompong. Setelah itu, ia akan membentuk sebuah hamparan seperti sutera pada permukaan kawasan dan menggantungkannya secara terbalik ke bawah. Sepasang kakinya yang paling belakang akan bercantum dengan hamparan seperti sutera tersebut. Ianya akan tergantung sepanjang hari seperti ini dan akan membuat bentuk seperti huruf “J”. Ulat beluncas akan menukar kulitnya untuk kali terakhir sebelum ia beralih kepada fasa metamorfosis yang seterusnya.
Peringkat Ketiga: Pupa
Apabila larva memasuki fasa yang ketiga, ia telah menanggalkan 8 pasang kaki dan kapsul kepalanya, yang mana telah menyimpan 6 lensa mata. Kulit ulat beluncas kemudiannya ditanggalkan untuk kali terakhir dan bingkai itu berwarna seperti warna jed. Bingkai ini dinamakan kepompong. Walaupun kepompong itu sebenarnya lembut pada awalnya, tetapi dalam masa lebih kurang sejam ia akan menjadi keras untuk membentuk cengkerang perlindungan. Ulat beluncas yang berkepompong akan berubah perlahan-lahan menjadi rama-rama. Ketika ini, transformasi daripada pupa kepada rama-rama berlaku. Bahagian-bahagian badan ulat beluncas dihancurkan untuk membentuk angota badan rama-rama. Tempoh transformasi kepompong menjadi rama-rama mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 hari.
Peringkat Keempat: Dewasa
Kepompong yang keras akan retak dan rama-rama akan keluar daripadanya. Kepak rama-rama kecil dan basah. Ia menempel pada cengkerang kepompong. Pada titik waktu ini, hemolymph akan dialirkan perlahan-lahan menerusi badan dan kepak rama-rama. Ini akan membantu kepak dan badan rama-rama membesar. Perlu diingat, kepak rama-rama yang basah tidak membenarkan rama-rama untuk terbang. Tetapi, dalam masa beberapa jam, kepak tersebut akan mengering dan ia telah bersedia untuk terbang. Rama-rama akan menjadi dewasa dan mengulangi semula proses kitaran hidupnya untuk membentuk generasi yang seterusnya.
Perspektif DaiE-ntomologist
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pertukaran malam dan siang itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang menyempurnakan akal fikirannya”
(QS al Imran, 3:190)
Sekiranya anda pernah terfikir tentang ciptaan Allah tentang dua benda ini – Pertama, bunga yang cantik serta berwarna-warni dan ditambah pula dengan kehadiran rama-rama. Terlihat indah bukan? Perkara yang kedua adalah, disamping Allah menciptakan tumbuhan berbunga, Allah juga menciptakan kaktus yang berduri dan ulat beluncas. Tidaklah ramai yang menyukai kaktus dan ulat beluncas. Namun, Allah Maha Hebat. Kaktus juga boleh berbunga dan ulat beluncas bermetamorfosis menjadi rama-rama. Jadinya sekarang, perkara yang pertama dan kedua menjadi kedua-dua terlihat indah. Subhanallah.
Usul perbincangannya sekarang, kita harus belajar untuk bermetamorfosis. Metamorfosis dalam diri kita. Kenapa perlu metamorfosis? Seorang Syaikh yang tajam bashirahnya pernah mengingatkan bahawa perubahan adalah suatu yang nescaya. “Bahkan ketika seluruh orang di dunia telah berkumpul hatinya sebaik Rasulullah SAW sekalipun, perubahan ke arah capaian-capaian yang lebih baik tetap perlu dilakukan.” Kata beliau. Perubahan adalah spirit utama dalam kehidupan, seperti perubahan kaktus dan ulat beluncas yang akhirnya terlihat cantik. Rasulullah SAW bersabda bahawa mereka yang hari ini tidak lebih baik dari hari kelmarinnya, maka ia termasuk golongan pencundang.
Dalam gerak langkah untuk berubah, memang begitu banyak rintangan yang perlu dilalui yang boleh menghambat kemajuan. Tetapi, kita harus yakin bahawa Allah akan menghindari kita daripada rintangan yang tidak mampu untuk kita tempuhi. Pertolongan Allah berlaku pada bila-bila masa menurut kehendak-Nya.
“Kamu adalah umat yang terbaik, yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah kepada yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakkan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(QS al Imran, 3:110)
Ayuh selesaikan perenungan sejenak, saya bertanya kepada diri sendiri apakah saya sudah menyelesaikan tanggungjawab saya sebagai hamba Allah, sebagai seorang Muslim, sebagai seorang pelajar, sebagai seorang anak, sebagai seorang sahabat, dan berserta tanggungjawab-tanggungjawab yang lainnya. Sekiranya saya masih seperti dahulu, seperti kanak-kanak yang belum matang fikirannya, maka sama saja
Metamorfosis kita adalah kepada menjadi seorang yang rabbani seterusnya memenuhi 10 muwasofat tarbiyah. Metamorfosis kita juga adalah membuat perubahan dalam diri kita yang awalnya negatif menjadi suatu yang positif. Setelah mengkaji kitaran hidup rama-rama, awalnya rama-rama adalah ulat beluncas. Ulat beluncas sudah cukup menggelikan untuk dilihat, apatah lagi untuk dipegang. Ulat beluncas juga cukup dibenci kerana saatnya membesar memerlukan makanan yang sangat banyak sehinggakan ia mampu untuk memakan daun tumbuhan yang dihuninya sehingga habis. Tetapi, apabila ia bermetamorfosis, ia bukan sahaja cantik bahkan mendatangkan manfaat yang lebih besar. Ia menjadi agen pendebungaan yang baik.
Mana mungkin kita akan berubah dengan sekelip mata. Perubahan kita adalah secara berperingkat. Fitrahnya, kita memerlukan beberapa masa yang kita sendiri tidak mengetahui tentang tempohnya. Rama-rama memerlukan beberapa tempoh masa untuk setiap fasa. Betapa, rama-rama maju kepada fasa yang seterusnya apabila ia sudah benar-benar bersedia. Tidak perlu tergesa-gesa tetapi bukan bermaksud berhenti daripada fasa untuk bermetamorfosis. Tidak ada orang yang boleh merubah kita melainkan kitalah yang mahu berubah. Sekiranya kita membantu rama-rama keluar daripada lubang kecil kepompongnya dengan meluaskan lubang tersebut, pastinya rama-rama itu tidak akan hidup lama. Ini adalah kerana cecair hemolymph tidak akan dirembeskan kepada badan dan kepaknya tanpa tekanan badannya yang cuba keluar melalui lubang kepompong yang kecil. Padahal, cecair itu sangat penting untuk mengisi ruang badannya.
Kesimpulannya, kita harus bermetamorfosis. Metamorfosis menjadikan kita mempunyai ataupun memiliki satu aset yang sangat berharga didalam kehidupan. Rama-rama tidak akan terbang selagi kepaknya belum kering dan badannya belum kuat. Samalah seperti kita, bagaimana kita mahu terbang seperti rama-rama menunaikan tanggungjawab seandainya kita tidak mempunyai kudrat. Orang bijak mengatakan, ‘faqidu syai’in lam yu’thi’ yang bermaksud orang yang tidak punya apa-apa tidak mungkin bisa memberi. Maka, semakin besar kemampuan yang kita miliki, semakin banyak pekerjaan yang bisa kita lakukan. Tapi, tentu saja syaratnya adalah besertakan keikhlasan. Metamorfosis kita bukan hanya untuk kepentingan diri tetapi untuk menegakkan agama Allah. Inilah sebenarnya prinsi kehidupan yang selalu dilihat tetapi tidak diaplikasikan.
Wallahua’alam.