Anda Gemar Bermain Game?
“Wah... Game! Kalau murobbi atau murobbiyah tahu, HABIS!”
Eiii... Takut murobbi atau murobbiyah ya? Apa antum wa antunna tidak takutkan Allah? Ana merujuk kepada diri ana sendiri. Ini juga sebuah nasihat yang khusus untuk diri sendiri.
Perkongsian:
Ana ingin berkongsi sesuatu tentang game. Ana pasti semua orang pernah bermain ataupun termain game. Tapi, kalau antum wa antunna tidak pernah bermain atau termain game sama sekali seumur hidup, alhamdulillah... Allah memeliharakan pemikiran kalian daripada ‘Ghazwah al Fikr’.
Tidak terhitung banyaknya permainan game pada hari ini. Kategori game seperti ‘Action Games’, ‘War Games’, ‘Sports Games’, ‘Time Management Games’, ‘Fashion Games’, ‘Strategy Games’, dan sebagainya telah berjaya menakluki pemikiran manusia. Pemain-pemain game pada hari ini tidak mengira peringkat umur, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, tanpa disedari ketagihan kepada game.
Sangat mengejutkan apabila ana terdengar berita tentang seorang ibu mencekik anaknya disebabkan anaknya menganggu semasa si ibu sedang bermain video game. Astaghfirullah al ‘adzeem...
Ada juga yang sanggup berjaga malam semata-mata untuk menamatkan permainan tersebut dengan lebih cepat. Lainnya lagi, sanggup tidak makan dan minum, tidak melakukan pekerjaan lain, dan membelanjakan wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan kalimat kemenangan seperti, “You Win!” atau “Congratulations! You have finished the game.”.
Kalau antum wa antunna perasan, para pemain game sebenarnya mempunyai sikap yang baik dan perlu dicontohi. Kenapa ana katakan seperti itu? Ya, selalunya orang akan sentiasa berusaha untuk menang, tidak berputus asa, sanggup berkorban jiwa, tenaga, dan harta, tidak pernah bosan, dan bijak mengatur strategi. Bagaimana ini berlaku? Bukankah lebih baik sikap-sikap ini diaplikasikan dalam kehidupan realiti kita iaitu permainan yang lebih menarik?
Menjawab persoalan bagaimana para pemain game mempunyai sikap-sikap tersebut adalah kerana mereka mempunyai matlamat yang perlu dicapai, mereka yakin bahawa apa yang mereka lakukan akan membawa mereka kepada kemenangan. Sikap-sikap ini sebenarnya fitrah manusia. Mana mungkin suatu game itu tidak punya ‘ending’. Kepercayaan dan keyakinan terhadap ‘ending’ game tersebut boleh membawa mereka kepada suatu usaha yang luar biasa semata-mata untuk mencapai matlamatnya.
Kehidupan realiti pada hari ini memperlihatkan banyak diantara kita tidak punya matlamat hidup. Hal ini dengan mudah menjelaskan keadaan kita yang terkadang kita merasa berputus asa, terkadang pula kita tidak bersungguh dalam beribadah kepada Allah, dan tidak takut kepada kemurkaan Allah.
Antum wa antunna percaya kalau ana katakan kita juga seorang pemain? Kebanyakkan kita tidak menyedari bahawa kita juga sedang bermain dalam permainan yang lebih serius dan realistik. Inilah masalah kita pada hari ini.
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megahan antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak seperti hujan, yang tanam-tanamannya mengagumkan petani kemudian tanam-tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada adzab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaanNya. Dan kehidupan ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(QS Al Hadid, 57:20)
Jika kita sedar bahawa kita seorang pemain, kita pasti mempunyai matlamat yang perlu dicapai. Apa matlamat kita sebenarnya? Mencari mardhotillah adalah matlamat kita! Jika kita yakin bahawa kehidupan kita akan berakhir, kita akan berusaha bermain sehingga mencapai, "You Win!" atau "Congratulations! You have finished the game.". Keadaan kita yang tidak yakin akan janji Allah, menyebabkan kita tidak berusaha sehabis mungkin dan mengatur strategi untuknya. Padahal, Allah telah menyediakan banyak kemudahan untuk kita. Ana pasti tidak siapa pun yang mahu ‘Game Over’ sebelum mencapai kemenangan. Begitulah seharusnya kita.
Ana sertakan beberapa simptom yang biasa berlaku kepada mereka yang ketagihan bermain game:
- Pemain akan lebih prihatin terhadap perkembangan dan lebih berinteraksi dengan game berbanding dengan interaksi dengan dunia realiti
- Bermain game berjam-jam dalam sehari
- Tidak menjaga kebersihan diri seperti malas mandi
- Penambahan dan pengurangan berat badan
- Waktu tidur yang tidak teratur
- Bermasalah di tempat kerja ataupun sekolah
- Bermasalah dalam hubungan terhadap keluarga dan rakan-rakan
Ana menyeru kepada diri-sendiri... Jangan jadikan kesempatan yang kita ada ini dengan sia-sia. Seperti bermain game, jika tidak mengatur strategi dengan baik, maka mudahlah kita untuk kalah dalam masa yang singkat. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kembali nikmat kehidupan yang kita ada saat ini. Kita tidak mahu menjadi orang yang ‘Game Over’. Kita tidak mahu menjadi hamba kepada game atau hamba kepada dunia. Tetapi kita mahu menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.
Hamba memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa yang telah hamba-Mu ini lakukan. Ampunkanlah kami Ya Allah. Jauhilah kami daripada perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat Ya Allah. Allahumma ameen...
Waallahua’alam.
0 comments: