• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
  • Edit
  • Ramyun min Rimayatil Islam

    Friday, June 3
    Teman-teman suka bersukan? Ya, bukankah kita mahu menjadi MUSLIM yang KUAT dan SIHAT? Jadi, sudah tentu bersukan dengan IZIN Allah akan menjadikan kita MUSLIM yang KUAT dan SIHAT.


    Bersabda Rasulullah SAW, “Adakah kamu tahu bahawa kekuatan itu ada pada memanah?”


    Saya merenungi diri sendiri, saya sebenarnya tergolong dalam golongan MANUSIA yang tidak langsung meminati apa-apa jenis sukan (Saya memohon keampunan daripada Allah, mohon teman-teman untuk mengambil ibrah daripadanya). Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya telah berjaya mendorong untuk menemukan sukan yang HEBAT iaitu sukan memanah. Masha Allah, perasaan memanah untuk kali pertama (walaupun panahan pertama sedikit tersasar) cukup hebat kerana teringatkan sahabat Rasulullah SAW, Saad bin Abi Waqqas.

    Saad bin Abi Waqqas adalah seorang Hamba Allah yang HEBAT dan BERANI. Orang-orang selalu membandingkannya dengan singa muda. Pada Perang Uhud, bersama Zaid, Saad bin Abi Waqqas terpilih menjadi salah satu pasukan pemanah terbaik Islam. Beliau berjuang dengan gigih mempertahankan Rasulullah setelah beberapa pejuang Muslim meninggalkan posisi mereka. Tidak satupun anak panah yang dilepaskan Saad dari busur melainkan mengenai sasaran dengan jitu dan orang Musyrik yang terkena, tewas seketika. Beliau menjadi sahabat dan pejuang Islam pertama yang tertembak panah dalam upaya mempertahankan Islam.

    Ibnu Asakir telah mengeluarkan dari az Zuhri dia telah berkata: Pada suatu hari Rasulullah SAW telah mengutus Saad untuk mengetuai suatu pasukan ke suatu tempat di negeri Hijaz yang dikenal dengan nama Rabigh. Mereka telah diserang dari belakang oleh kaum Musyrikin, maka Saad mengeluarkan panah-panahnya serta memanah mereka dengan panah-panah itu. Dengan itu, maka Saad menjadi orang pertama yang memanah di dalam Islam, dan peristiwa itu pula menjadi perang yang pertama terjadi di dalam Islam. 

    Ibnu Asakir mengeluarkan dari Ibnu Syihab, dia berkata: "Pada hari pertempuran di Uhud Saad bin Abu Waqqas telah membunuh tiga orang Musyrikin dengan sebatang anak panah. Dipanahnya seorang, lalu diambilnya lagi panah itu, kemudian dipanahnya orang yang kedua dan seterusnya orang yang ketiga dengan panah yang sama. Ramai para sahabat merasa heran tentang keberanian Saad itu. Maka Saad berkata: "Rasulullah SAW yang telah memberikanku keberanian itu, sehingga aku menjadi begitu berani sekali". 

    Masha Allah, HEBAT sekali Saad bin Abi Waqqas dan beliau bertambah lagi terlihat HEBAT apabila kita meneliti keperibadian beliau. (Saya tinggalkan untuk kalian mengetahui keperibadiannya)

    Sukan memanah terbuka kepada semua orang, tidak kira samada dia seorang yang berfizikal normal ataupun kurang upaya. Fakta tambahan, pada hari ini dengan perkembangan teknologi, orang buta juga boleh menyertai sukan memanah.

    Telah dikhabarkan oleh Abdullah bin Muhammad Abu Qasim al Thaghari, katanya telah menceritakan kepada kami oleh Daud, katanya telah menceritakan kepada kami Mubarak iaitu Abdullah bin Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir, katanya telah menceritakan Abu Muslim dari Khalid bin Yazid, katanya: “Aku adalah seorang pemanah.” Maka, Uqbah bin Amir lalu dekatku sambil berkata: “Sesungguhnya Allah Taala memasukkan tiga orang ke syurga disebabkan oleh satu anak panah, iaitu pemilik anak panah itu yang mengharapkan kebaikan daripadanya, pemanah (yang menggunakan anak panah itu) dan pembuat anak panah itu. Memanahlah kamu dan tungganglah kuda, sesungguhnya jika kamu memanah, lebih-lebih aku sukai dari kamu menunggang kuda, tidak sia-sia seseorang yang melatih kuda untuk permainan keluarganya dan melatih memanah dengan busur dan anak panahnya sendiri setelah mempelajarinya, sesungguhnya ia telah meninggalkan (semua ganjaran baik) ini atau telah mengingkarinya.”

    There are 10 basic steps to Archery:
    •  Stance and posture
    • Nock
    • Set-hock string and place bow hand
    • Set-up
    • Draw or load
    • Anchor
    • Load and transfer then hold
    • Aim and expand
    • Release
    • Follow through


    Hanya sepuluh langkah, terlihat senang bukan?

    Teman-teman, silakan untuk mencuba dulu!

    Secara biologinya, terdapat banyak manfaat daripada aktiviti memanah. Antaranya (dengan IZIN Allah),
    • Memanah boleh memberikan bentuk badan yang baik
    • Meningkatkan daya fokus
    • Peningkatan diri sendiri
    • Meningkatkan keyakinan diri


    Memanah bukanlah perkara yang mudah, ianya memerlukan latihan. Saya belajar untuk fokus, konsentrasi, dan kemahiran membuat sasaran. Sememangnya saya sukar untuk melakukan ketiga-tiga perkara ini. Ya, sebagai contoh, daripada 2 jam kuliah HANYA lebih kurang 30 minit sahaja saya boleh fokus dan memberikan tumpuan 100% (afwan katheera kepada guru-guru dan para pensyarah yang pernah mengajar saya, mohon teman-teman untuk mengambil ibrah daripadanya).

    Alhamdulillah wa tsumma alhamdulillah, saya baru saja menikmati KEHEBATAN memanah dan banyak perkara yang saya pelajari daripadanya. Saya merasa agak sedih kerana HANYA 7 anak panah yang mengena pada sasaran dan yang selebihnya tersasar, saya hampir mengalah untuk melakukannya TETAPI saya meyakinkan diri sendiri bahawa tidak ada MANUSIA yang akan terus menjadi HEBAT tanpa melakukan sebarang kesilapan pada awalnya. Ini adalah salah satu konsep kehidupan yang saya pelajari berikutan percubaan memanah pertama saya.

    Tadinya kita sudah mengetahui kelebihan memanah pada sudut fizikal dan mental, TETAPI bagaimana pula memanah boleh memberi kelebihan kepada ruhiyah kita? (Sekali lagi, saya tinggalkan kepada teman-teman untuk memikirkannya)

    Teringat lagi sedutan lirik nasyid haroki,

    “...Kami adalah anak panah terbujur, yang siap dilepaskan dari busur. Tuju sasaran, siapa pun pemanahnya...”

    Mari kita letakkan diri kita sebagai anak panah, dan seterusnya kita dilepaskan daripada busur... Kemanakah tujuan kita? Sudah tentu kita akan membidik tepat ke arah sasaran. 

    Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah tujuan saya dibidikkan ke muka bumi?

    Firman Allah SWT:

    "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya."

    (QS Az Zariyat, 51: 56-58)

    "“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"…"

    (QS Al Baqarah, 2:30)

    Maka, sebagai kesimpulan tujuan hidup kita adalah untuk beribadah kepada Allah dan juga menjadi khalifah Allah. 

    Ternyata, memanah bukan sahaja menyihatkan fizikal dan mental, tetapi ia sebenarnya mampu untuk menyihatkan ruhiyah. Lebih penting, adalah bagaimana kita mengaplikasikan tertib memanah ini di dalam kehidupan kita sehari-harian sebagai seorang MUSLIM.

    Practice make perfect! Insha Allah, I’ll try again this game later.

    0 comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...